Bandar Yang Sayu Itu - Ding Yun
Terjemahan cerpen ini telah memenangi Pertandingan Menterjemah Piala Drs Chin Yook Chin yang dianjurkan Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF) pada Mac 2021 bagi kategori Hadiah Terjemahan Baik. Cerpen asal ditulis oleh Ding Yun (丁云) yang bertajuk 沉重的都市.
Bandar yang Sayu Itu – Ding Yun
Di bandar berhampiran laut itu, aku turun dari kereta dengan menggalas beg pakaian serba ringkas lalu melangkah di antara kumpulan manusia yang sesak di stesen bas itu. Aku kemudian menuju ke arah beberapa buah beca yang sedang menunggu penumpang.
“Tumpang tanya, berapa harga tambang untuk ke tanjung?”
“Tanjung? Bahagian mana?”
Aku mengeluarkan satu buku kecil dari dalam poket, lantas memeriksanya.
“Tanjung...Nombor 14 Jalan Ibrahim."
“Oh, Ibrahim apanya, jalan rumah pelacuran itulah!” Seorang pembawa beca yang lain meningkah dan berkata, “Ambil tiga ringgit lah.”
“Tiga ringgit? Boleh kurangkan harga sedikit?” Dalam keadaan kewangan yang ketat, aku menjadi sedikit berkira dengan perbelanjaanku.
“Tiada tawar-menawar, tiga ringgit!” Pembawa beca yang kulitnya hitam dek panas mentari, dengan giginya yang kekuningan akibat rokok, tersengih lalu ketawa mengejek, “Anak muda, mencari pelacur pun masih mahu tawar-menawar, buatkan orang ketawa sahaja!”
Memahami maksud kata-katanya, mukaku bertukar merah.
“Saya mahu cari seseorang di sana.”
“Tidak kiralah mahu cari orang atau pelacur, tambangnya tetap tiga ringgit. Kamu mahu naik atau tidak?”
Bagi menyembunyikan perasaan maluku dan untuk meluahkan kemarahan yang terbit dari dalam hati, aku melemparkan beg pakaianku ke arah tempat duduk beca. Aku juga naik dan menghempaskan punggungku di atas tempat duduk itu. Dalam keadaan pembawa beca yang sedang terkumat-kamit itu, beca itu mulai bergerak terhuyung-hayang menuju ke jalan di tepi Sungai Muar.
Aku bakal terjerumus dalam suatu kebingungan, sejenis perasaan yang lucu. Ia seperti suatu acara cabutan bertuah dalam sebuah pesta, di mana kesemua hadirin membuat cabutan dari dalam bekas secara rawak. Kemudian, semua orang diminta untuk melihat kandungan kertas tersebut bagi mencari pemenang yang bertuah. Orang yang terpilih selalunya akan menjerit kegembiraan, tetapi tidak pula diketahui sekiranya peraturan permainan itu menetapkan denda bagi si pemenang yang bertuah itu.
Keluar sahaja dari universiti, aku telah bekerja pelbagai jenis pekerjaan. Tanpa disangka, aku berpeluang mendapat pekerjaan di dalam syarikat akhbar itu. Pada ketika itu, perasaan aku sememangnya bagaikan seorang pemenang cabutan bertuah. Aku ditugaskan untuk menjalankan temu ramah, yang mana kebetulannya kena benar dengan impian aku untuk mengembangkan diri sendiri. Aku bekerja di situ buat beberapa tahun lamanya, lalu dinaikkan pangkat untuk menulis bagi bahagian Topik Khas. Aku telah menulis satu laporan Kampung Nelayan dan dengan laporan tersebut aku bernasib baik memenangi sebuah Anugerah Kewartawanan. Namun, tanpa disangka-sangka, tahun berikutnya, syarikat akhbar tersebut gulung tikar.
Aku menganggur hampir separuh tahun dan hari-hariku bagaikan berulang setiap hari. Wang yang dimenangi dari Anugerah Kewartawanan itu telah lama habis digunakan untuk belanja rakan-rakan sekerja makan. Sewa rumah di Kawasan 17 itu telah tertunggak selama 4 bulan, tuan rumah juga telah memberi amaran terakhir buatku. Katanya, jika akhir bulan ini sewa rumah itu masih tidak dibayar, dia akan memanggil samseng untuk menyelesaikan hal itu! Hah, pada zaman ini, semua orang sanggup menjadi jahat dek kerana kemiskinan yang membelenggu hidup, segala tipu muslihat juga berani digunakan.
“Xiao Bai, jika kamu terus membazir masa seperti ini, lambat laun pasti akan timbul masalah.”
“Kalau tidak membazir masa sebegini, apa lagi yang boleh saya lakukan? Mahu saya jadi penari lelaki? Dunia apakah ini, pekerja dipecat merata-rata, jika tidakpun syarikat jatuh bankrap.”
“Xiao Bai, kamu tahu apa masalahnya?”
“Apa?”
“Sebenarnya masalahnya ada pada diri kamu sendiri, tidakkah begitu? Buang dahulu masalah sosial, otak yang dipenuhi tanggungjawab sosial terhadap masyarakat, sifat moral dan semuanya itu. Lihatlah diri kamu sendiri, lapar sehingga sepasang mata bertukar putih, falsafah hidup apa lagi yang kamu mahu cakapkan?”
“Hei, hati-hati, jangan pandang rendah dengan falsafah hidup dan rasa tanggungjawab sosial saya. Masyarakat hari ini menjadi begitu teruk, begitu gagal, kerana wujudnya golongan cendiakawan seperti kamu dengan mata pena kamu semua, yang kononnya arif akan hal yang patut dilakukan, tetapi tanpa berfikiran teliti telah menyebarkan falsafah tingkah laku yang hanya pentingkan keputusan dan tidak mengambil peduli akan cara untuk mencapainya.”
“Hehe, sekarang siapakah yang sedang berlapar? Siapakah yang hampir hidup di jalanan tidak lama lagi? Siapakah yang telah membuat begitu banyak panggilan dan berkata, Pan Sheng, kamu kena bantu saya! Biar saya beritahu kamu, kalau bukan kerana saya menghayati bakat kamu, jangan harap saya akan bantu kamu! Berapa ramai pelajar universiti yang menyapu sampah di jalanan sekarang? Saya yang gila jika saya pedulikan mereka.”
Aku sebenarnya masih mahu berbalah dengan Pan Sheng. Tetapi, disebabkan perut yang lapar kerana seharian tidak makan, tangan dan kaki juga terasa sejuk, minda bercelaru, maka dengan gelojoh aku memegang secawan milo ais yang baru dihantar oleh pelayan. Dengan sekali teguk setengah cawan milo ais itu aku habiskan, aku kemudian mengeluh tanpa suara.
Kami berdua keluar dari universiti yang sama, lalu, apakah yang menyebabkan kami begitu berbeza pandangan?
“Saya tahu kamu pandang rendah dengan akhbar yang lebih mengutamakan gosip, tapi sekarang ada satu tugas untuk kamu, mahu? Khusus untuk mengorek topik sensasi. Menulis topik khusus juga adalah kemahiran kamu.”
Aku habiskan milo ais yang berbaki separuh itu, perutku berbunyi senang dengan milo ais yang mula memenuhinya.
Alahai, penderitaan manusia yang paling besar adalah tidak mampu menahan kelaparan!
Aku rasakan jalan di tepi Sungai Muar itu begitu panjang. Beca tersebut bergerak malas ke hadapan, melintasi jalan-jalan, melalui lorong-lorong, melewati bangunan lama dan baru yang bersilih ganti, melalui juga kumpulan manusia yang sesak, bagaikan kawanan semut yang bergerak sibuk. Beca itu kemudian berpusing memasuki jalan yang mempunyai nama yang panjang. Aku dapati ada sebaris bangunan kedai yang usang, ada juga kedai runcit, kedai kopi, kedai membaiki basikal, kedai jahit, kedai gunting rambut, diikuti sebaris pintu besar yang digantungkan langsir merah yang besar. Di pintu masuknya terdapat sebuah tempat sembahyang kecil dan papan tanda ‘Rumah Pelacuran’. Mungkin inilah rumah pelacuran yang terkenal itu. Setiap kali aku melalui lorong hitam di sesebuah bandar, aku pasti akan terasa suatu perasaan sayu. Perasaan itu bagaikan sebuah sampan yang dipenuhi barang muatan, sebegitu berat, membuatkan hati bagaikan jatuh ke bawah!
Beca terus bergerak ke hadapan, melalui beberapa kediaman usang. Di antaranya muncul tanpa disangka beberapa rumah ala barat dengan taman yang bercita rasa tinggi. Maka, di sepanjang perjalanan itu kami ditemani beberapa pohonan bunga akasia palsu, bunga melur dan pokok Jemerlang Laut yang berbunga kuning.
Beca akhirnya berhenti di hadapan sebuah rumah kayu.
“Nah, anak muda, dah sampai, nombor 14.”
Di sinikah tempatnya? Sebuah rumah yang tampak sunyi. Lebih kurang dua tahun lalu, aku dan kakak keduaku pernah datang menjalankan temu ramah di sini, namun ingatanku juga telah hilang ditelan masa. Yang mengejutkan aku sekarang adalah betapa pembawa beca tua itu kenal benar dengan Nombor 14 Jalan Ibrahim. Dia memberhentikan beca betul-betul di hadapan pintu rumah itu.
Melihatkan pandanganku yang penuh dengan pertanyaan itu, pembawa beca tua yang tulang pipinya tersembul itu tersengih, kemudian dia ketawa dengan giginya yang kekuningan akibat rokok. Ketawanya mengejek dan penuh misteri.
Mendekati rumah yang teduh itu, aku dapati bahawa luaran rumah kayu ini telahpun begitu usang. Terdapat bintikan pada warna dinding papan yang jelas kelihatan, bahkan lantai di bawah juga telah merekah di sana sini. Halaman rumah pula dipenuhi dedaun kering yang tidak disapu. Pemandangan ini membuatkan orang merasakan berbagai macam perasaan tidak senang, sayu dan hilang arah.
Ada suara gelak ketawa yang datang dari pintu yang terbuka.
Aku mengetuk perlahan pintu tersebut. Setelah menanggalkan kasut, aku masuk ke dalam rumah tanpa dijemput. Pemandangan di ruang tamu menyaji pandangan mataku, sepertinya tuan rumah memiliki taraf hidup yang baik. Ada sebuah peti sejuk, sofa, televisyen berwarna, beberapa kotak bir, air bergas dan botol-botol arak kosong yang dikumpulkan di pelusuk ruang tamu.
“Ah, si hitam, dah sampai, cepat masuk!”
Seorang wanita separuh usia yang sedikit gempal mendekatiku dengan riang. Mukanya bulat dan tembam, jelas menyembunyikan kerut lelah yang ada di sudut matanya. Aku sedikit terkedu. Sukar bagiku untuk menyamakan susuk tubuh di hadapanku dengan susuk tubuh yang pernah aku kenali suatu masa dahulu atau lebih tepat lagi, wajah yang pernah aku lihat sepintas lalu dua tahun yang lepas.
Aku pula hanya kekal di situ dengan riak wajah yang dingin.
Aku sebenarnya paling benci orang lain memanggil aku dengan nama gelaran waktu kecilku.
“Si hitam, kamu datang menaiki beca? Kan saya sudah beritahu kamu, tempat ini senang dicari, tiada pembawa beca yang tidak tahu rumah pelacuran.”
Aku meletakkan beg pakaianku di bawah, mencari kerusi lalu duduk. Dengan pandangan yang angkuh dan mencabar, aku perhatikan seorang lelaki separuh usia yang tidak diketahui identitinya di ruang tamu itu. Lelaki yang sedang minum bir itu turut membalas pandanganku dengan aura yang sama.
Baru sebentar aku di sini, aku telahpun merasakan suatu perasaan yang menjengkelkan.
“Si hitam, berapa lama kamu mahu duduk di sini kali ini?” Wanita itu membuka penutup sebuah tin Coca-Cola lalu menghulurkan tin itu kepadaku.
“Lihat keadaan, saya akan pergi bila saya telah selesaikan kerja saya.”
“Jika begitu, tinggal sahaja di sini! Jangan lihat rumah ini tampak buruk, saya sewa keseluruhan rumah ini. Ada tiga bilik kesemuanya, satu saya yang punya, ada lagi dua yang masih kosong. Bilik di belakang itu lebih sunyi, telah saya kemaskan ia semalam!”
“Saya..” Di saat kritikal ini, aku bagaikan pasrah dengan ketentuan takdir. Aku telah membuat perkiraan. Jika menyewa bilik di hotel, paling kurang, aku perlu belanjakan dua tiga ratus ringgit. Dengan poket yang bagaikan nyawa-nyawa ikan ini, tidak kira bagaimana kuat perasaan jengkel aku sekarang, aku perlu telan perasaan itu dalam-dalam!
“Pergilah, bawa masuk barang kamu! Cuaca hari ini begitu panas, kamu pula telah melalui perjalanan yang panjang. Pasti seluruh badan penuh dengan peluh, pergilah mandi, rehatkan diri!” Wanita itu masih begitu riang dan prihatin terhadap diriku, langsung tidak menyedari sikap dinginku.
“Di mana letaknya telefon? Saya mahu buat panggilan kepada pejabat akhbar dahulu.”
Aku melangkah masuk ke dalam bilik yang hujung itu. Ada sebuah katil yang cadarnya baru ditukar dan sebuah meja solek berhampiran tingkap. Selain itu, ada juga sebuah meja tulis dan kerusi. Meja solek memang telah sedia ada di situ, meja tulis dan kerusi pula aku kira mungkin wanita itu yang letakkan untukku. Di dinding kayu itu tergantung sebuah kalendar dan beberapa poster yang kesemuanya menggayakan postur menggoda, tidak semena-mena membuatkan orang terfikirkan gambar wanita bogel.
Sejak awal lagi, aku bagaikan telah menduga bahawa aku akan melalui beberapa hari ini dalam persekitaran yang boleh membuatkan orang jelik dan tidak senang. Namun, selain daripada menerimanya dan menyesuaikan diri, apa lagi boleh aku lakukan?
Kak Mei telah menyewa rumah ini untuk menjual bir secara rahsia. Yang penting adalah pelanggan tetapnya, ada yang berhempas pulas bekerja di pelabuhan, pemandu teksi, pembawa beca. Mereka ini sememangnya telah biasa minum-minum di kedai makan. Namun, di sini ada suasana rumah, tidak begitu sesak seperti di kedai makan. Lantas, pada waktu senggang mereka datang bersama kenalan untuk minum beberapa botol arak, ditemani pula sepinggan kacang tanah dan makanan bergoreng. Dapatlah mereka bersembang sakan sambil bergoyang kaki!
Kadang-kadang, beberapa kawan lama yang terdiri daripada bekas pelacur juga akan mengunjungi rumah itu. Tidak putus-putus mereka bersembang tentang kehidupan ini. Kadang-kadang, mereka minum bir, kemudian sambil bersembang sambil ketawa dan menangis. Apabila mereka mabuk, mereka mula muntah-muntah, menyebabkan keadaan kucar-kacir sahaja.
Beginilah hidup Kak Mei, begitu bercelaru. Dia mempunyai seorang anak yang berusia 8 tahun, sedang berada di darjah dua di sebuah sekolah rendah. Sumber pendapatan utama mereka dua beranak datang dari jualan arak dan wang yang diterima dari pertaruhan haram. Bekas suaminya telah hilang entah ke mana. Dengar kata, lelaki berkulit gelap berbadan tegap di ruang tamu yang aku jumpa hari itu adalah bapa angkat Qiang Jai, anak lelaki Kak Mei. Katanya, dia bergiat dalam dunia kongsi gelap dan dialah yang melindungi apa-apa yang dilakukan oleh Kak Mei.
Semua pengetahuan inilah yang membuatkan aku bertambah gusar dan benci.
Demi mengelakkan aku tinggal lebih lama di sini, aku segera menjalankan kerja temu ramahku. Ia boleh dikatakan berjalan lancar.
“Biar saya fikir. Ini adalah yang pertama, dia bernama Li Li, tubuhnya bulat dan gempal, kulitnya sedikit hitam, seperti bintang filem yang bernama Zhong Hong itu. Namanya bermula dengan Chen, orang Bentong, semua ini dia yang beritahu saya sendiri! Waktu itu, dia hanya berusia 17 tahun. Dia kemudian berkenalan dengan orang luar yang pergi ke sana untuk membuat kerja-kerja binaan. Kemudian, mereka bercinta dengan begitu kemaruk sekali! Siapa sangka, tidak lama kemudian ibunya dapat tahu, lalu dipukulnya si Li Li dengan rotan kasar hingga lebam dan cedera, dikuncinya pula si Li Li di dalam bilik, tidak diberikan makan atau minum. Si ibu itu sememangnya kejam. Kemudian baru saya tahu, rupanya itu adalah ibu tirinya.”
“Kemudian dia lari dari situ, begitukah?”
“Sudah tentulah.” Kak Mei mengeluh, “Namun, nasib hidupnya malang, dia telah mengikut lelaki yang tidak berguna. Habis madu sepah dibuang, dia ditinggalkan begitu sahaja. Dia cuma anak gadis muda yang tiada tempat bergantung. Kasihan, sudahlah tidak boleh pulang ke rumah, demi menyara hidup, terpaksa bersusah-payah. Akhirnya dia terpaksa memilih jalan gelap ini.”
Pen aku bergerak laju di atas kertas nota itu. Kisah yang sama telahpun diulang beribu kali. Namun setiap daripada mereka memiliki kesukaran dan kisah tragedinya yang tersendiri. Masalah keluarga, kemiskinan hidup, atau cuma kerana pemikiran yang naif, terjumpa pula lelaki gila seks, ditipu menjual diri, lantas tiada jalan keluar lalu terpaksa terus melakukan kerja itu. Ada juga sebahagian yang melakukannya dengan rela. Sebahagian yang lain pula ditipu sindiket pemerdagangan manusia, lalu hidupnya dikawal oleh samseng, ada yang ketagihan dadah, lantas bagaikan ikan di atas papan pemotong, nasib mereka diserahkan sepenuhnya ke tangan si pemegang pisau.
“Ada tak yang berhenti? Maksudnya, berjaya berhenti menjadi pelacur, atau berkahwin, atau melakukan kerja lain dan memulakan hidup baru?”
Tidak semena-mena, soalan ini membuatkan Kak Mei senyap buat beberapa saat. Ia bagaikan suatu benang yang tersembunyi jauh di dalam dirinya telah ditarik dengan tiba-tiba, boleh juga dikatakan Kak Mei bagaikan telah terfikirkan sesuatu yang mengganggu emosinya. Dia kemudian berhenti menjahit, baju sekolah berwarna putih milik anaknya diletakkan di lutut. Dia pula mulai hilang dalam lamunannya sendiri.
Dari luar kedengaran bunyi kenderaan. Ada sebuah bas sekolah yang berhenti di hadapan rumah. Seorang kanak-kanak yang berusia lebih kurang 8 atau 9 tahun, yang nampak sihat dan cergas, menggalas beg sekolahnya lalu melompat turun dari bas tersebut. Dia kemudian berlari anak masuk ke dalam rumah.
“Ah, Qiang Jai, dah balik!” Kak Mei segera menghentikan apa yang sedang dilakukannya untuk pergi membantu anaknya menanggalkan beg sekolah. Melihatkan keadaan anaknya yang kotor akibat bermain, hinggakan lengan baju sekolahnya terkoyak, Kak Mei tidak dapat menahan diri dari meleteri anaknya dengan lembut, “Tengoklah, tak dengar kata. Kamu main seperti seekor monyet, lompat ke sana ke sini. Mak baru sahaja jahitkan baju itu, koyak lagi.”
Anak itu tidak pula kelihatan sesal dengan perbuatannya. Dia hanya tersengih. Tanpa menganggalkan kasut, dia membuka peti ais, mencapai air bergas lalu meneguknya.
“Minum perlahan-lahan, jangan tersedak.”
Setelah anak itu menghabiskan airnya, dengan segera dia menanggalkan baju sekolahnya. Dia mengelap mukanya dengan tergesa-gesa, kemudian mencapai plastik berisi barang permainan lalu lari ke luar untuk bermain dengan anak jiran. Ibunya di belakang separuh menasihati separuh memberi amaran menjerit, “Jangan bergaduh. Jangan bermain terlalu lewat, sudah masuk waktu makan!”
Kini, tiba giliran aku terkedu. Keadaan anak dan ibu itu secara tidak semena-mena membuatkan aku jatuh dalam lamunanku sendiri. Dalam lamunan itu, ada seorang anak yang begitu nakal dan aktif, ada suara dan jeritan lembut yang penuh dengan kasih sayang dan cinta, serta sikap dan pandangan yang bersedia untuk berkorban segalanya itu.
Emakku telah lama meninggal dunia. Sewaktu aku berada di sekolah rendah, aku merupakan seorang yang sangat aktif. Selalu sahaja aku bermain bola keranjang bersama murid-murid lain, ataupun memanjat pokok menangkap burung. Maka selalu juga lengan baju sekolahku terkoyak, ataupun tanpa sengaja seluar yang terkoyak. Pada masa itu, siapa yang membantu aku menjahit semuanya? Apabila aku melakukan kesalahan, lantas dirotan oleh ayahku dengan rotan tuanya, waktu aku menangis cuba melarikan diri dari pukulan itu, siapa pula yang merayu buatku, yang melindungi diriku daripada dirotan? Tatkala aku jatuh sakit, atau demam, siapa pula yang menyediakan ubat untukku?
Aku menggigit bibir. Ia umpana suasana mesra itu telah dipisahkan oleh tingkap itu. Bagaikan melarikan diri dari sesuatu, ia tergopah-gapah pula masuk ke dalam bilik sempit aku ini, dalam keadaan aku mengelamun memandang poster-poster model di dinding.
Aku bagaikan telah biasa dengan keadaan kasar, tidak sopan, dan persekitaran hidup yang haru-biru di sini. Setiap hari aku bertemu dengan kuli-kuli berkelas bawahan yang bekerja di pelabuhan, pembawa-pembawa beca, serta pelacur-pelacur tua dari rumah pelacuran itu. Setelah beberapa gelas arak diteguk, mulalah kata-kata kesat dan tidak sopan dikeluarkan. Kadang-kadang mereka bercakap tentang pentadbiran negara, pada masa yang lain pula, mereka bercakap tentang kerja mereka sendiri. Tetapi yang pasti, semuanya berkait rapat dengan keluhan dan rungutan mereka. Ada masanya mereka akan berbual tentang perkara menarik yang berlaku ke atas si pelacur di rumah pelacuran itu. Contohnya, si pelacur ini telah dilanggani seorang lelaki tua berusia 70 tahun. Baru sahaja naik ke katil, lelaki tua itu diserang sakit jantung. Ada juga yang dilanggani oleh anak muda yang belum cukup umur, lalu si pelacur membeli kertas taruhan dengan mengambil umur si pelanggan, tanpa disangka dia menang besar. Begitulah pelbagai perbualan yang dibualkan. Gelak ketawa juga bersambung-sambungan. Ia bagaikan satu-satunya sinar yang mencuit hati mereka dalam keadaan hidup serba gelap itu.
Bahkan, setiap malam ada sahaja lelaki yang membawa perempuan dengan solekan tebal yang menggoda datang menyewa bilik. Masuk sahaja mereka ke dalam bilik, Kak Mei akan menguatkan suara televisyen, menenggelamkan bunyi katil yang bergoncang dan nafas yang tercungap-cungap dari dalam bilik itu.
Aku bertekad untuk menghabiskan kerja temu ramahku secepat mungkin.
Atas desakan Pan Sheng, aku menyediakan dua buah deraf artikel dahulu, kemudian aku kirimkan deraf artikel itu ke pejabat akhbar.
Tanpa disangka lewat petang keesokan harinya, aku menerima panggilan dari Pan Sheng.
“Xiao Bai, apa yang telah kamu buat ini? Kedua-dua artikel kamu tidak dapat digunakan langsung!” Walaupun suara ketua editor, Pan Sheng, datang dari hujung talian sana, namun aku masih dapat merasakan kemarahannya yang membuak-buak.
“Apa? Adakah kamu sedang berjenaka?” Hampir sahaja aku meninggikan suara terhadapnya, “Bukankah kamu mahukan kisah tentang pelacur? Itu semualah kisah mereka, semuanya benar-benar belaka.”
“Ya, betul. Memang kita mahukan kisah tentang pelacur, saya juga tidak mencurigai kebenaran kisah ini! Tapi, kamu dengar dahulu apa yang saya mahu cakapkan, jangan mencelah. Hal ini berkait rapat dengan masalah penyusunan bahan berita dan kemahiran menulis artikel kamu. Bukankah si pengarah pernah berbincang dengan kamu tentang hal ini? Kita mahukan artikel yang mampu menarik perhatian pembaca, lebih baik jika ia disusun agar menampakkan kisah ini sedikit ghairah, sedikit luar biasa. Adakah kamu faham maksud saya?”
“Saya tidak begitu faham...”
“Syarikat kita menguruskan akhbar berkaitan gosip, bukannya untuk menyemarakkan semangat kebudayaan.”
“Saya tidak begitu faham maksud kamu tentang saya tidak menyusun bahan dengan baik. Memang bahan berita yang saya dapat adalah sebegitu rupa, lalu saya menulis hal yang sama, apakah yang tidak disusun dengan baik di sini?” Sukar bagiku untuk menyembunyikan kemarahan dalam nada pertuturanku.
“Ya Tuhan, Xiao Bai, adakah kamu betul-betul tidak faham, atau kamu hanya berpura-pura tidak faham? Biar saya berterus terang, kita mahukan legenda si pelacur, bukannya sejarah keperitan hidup mereka, kamu faham? Yang penting, kamu kena tulis semula dua artikel ini, tambahkan sedikit rencah dan perasa untuk jadikan ia menarik. Bahkan kamu juga mungkin boleh menokok tambah kisah mereka. Lagi satu, lebih baik sekiranya kamu dapat mengambil beberapa keping gambar yang menarik untuk disertakan bersama artikel itu!”
“Di mana pula harus saya ambil gambar-gambar itu? Kesemua pelacur itu tidak sembarangan membenarkan orang mengambil gambar mereka. Tersilap langkah, saya yang akan dipukul oleh mereka.”
“Apa-apa pun, saya tidak peduli, kamu fikirkan sendiri caranya sendiri!”
“Celaka.” Aku luahkan kata-kata ini sebaik sahaja Pan Sheng menamatkan panggilan.
Aku terus memaki hamun sambil menghempaskan telefon itu. Entah apa yang difikirkan oleh mereka semua. Mahu beberapa gambar yang menggoda? Mahu pula kisah yang luar biasa dan ditulis secara keterlaluan, hanya untuk menarik perhatian pembaca? Sebenarnya mereka hanyalah mencipta sampah dan menjatuhkan diri sendiri. Laporan topik khas apa jika ini yang dimahukan oleh mereka.
Aku mengeluarkan buku nota yang padat dengan catatan itu. Sememangnya setiap helaiannya merakamkan kisah hidup tragis para pelacur. Bagaimana mereka menderita dengan kemiskinan hidup, bagaimana mereka sesat mengejar kekayaan harta benda, bagaimana mereka dihina, dikhianati, ditipu dalam keadaan mereka yang serba buruk dan bagaimana mereka terjebak dalam lembah gelap yang tiada jalan keluar.
Kegelisahan aku yang paling besar saat ini adalah jika mereka membuat keputusan untuk tidak menggunakan artikel aku. Hal ini bermakna, aku tidak akan mendapat walau satu sen upah dari menulis artikel tersebut. Jika aku berdegil untuk tidak menyesuaikan diri dan mengikuti kehendak mereka, ia juga bermaksud bahawa aku akan kehilangan perkerjaanku sekali lagi.
Jika dengan berkompromi boleh membuatkan seseorang memulakan langkah yang pertama, maka langkah kedua akan menjadi lebih mudah.
Kembalinya aku ke bilik sempit itu, aku masih perlu bertahan dengan keriuhan perbualan mereka yang sedang menikmati arak di luar. Keadaan akan lebih tenteram pada waktu pagi, kebetulannya ada wartawan dari Jie Mei yang akan datang menemu ramah Kak Mei. Topik yang dipilih masih berkait dengan kisah keperitan hidup si pelacur.
“Kak Mei, pasti kamu masih ingat akan Ah Zhen yang pernah bekerja di Kucing Merah! Dengar kata dia baru sahaja ditipu orang, bahkan ditikam pula oleh lelaki tak guna itu. Sekarang dia sedang terlantar di hospital.”
“Bagaimana boleh jadi begitu? Bukankah dia telahpun mahu berkahwin dengan seseorang?”
“Dia telah ditipu oleh lelaki itu dengan kata-kata manisnya. Rupanya, lelaki itu telahpun mempunyai isteri serta telah memiliki beberapa orang anak. Lelaki itu hanya mahukan barang kemas milik Ah Zhen, kesemuanya bernilai lebih kurang tiga atau empat puluh ribu. Namun, kesemuanya lesap ditipu oleh lelaki itu. Pastilah Ah Zhen tidak puas hati. Maka dia mencari lelaki itu di rumahnya, siapa tahu...”
“Ya Tuhan, kenapa orang seperti kami yang sudahpun tidak bernasib baik sentiasa sahaja ditipu orang?”
Dalam diam, aku mengingati setiap perbualan ini. Aku bersungguh-sungguh menulis artikel itu. Apabila terasa letih, aku akan berbaring di atas katil sambil menghisap rokok, memerhatikan gambar-gambar bogel di dinding. Aku semakin biasa dengan suasana dan persekitaran bilik ini.
Pada waktu tengah hari, cuaca menjadi semakin panas. Aku menolak kedua buah tingkap itu dan aku tahan daun tingkap-tingkap itu dengan sebatang kayu. Di luar ada beberapa pokok jambu air, sebahagian daripada daunnya telahpun bertukar kuning, gugur ke bumi dan memenuhi permukaan tanah. Tiada sesiapa yang membersihkan semua ini.
Kebiasaannya, ruang tamu itu akan menjadi riuh bila tiba waktu tengah hari. Aku terdengar bunyi pergaduhan yang kuat, yang membuatkan aku terfikir, adakah ia datang dari pelanggan mabuk yang sengaja mencari pasal? Tetapi bunyi itu bagaikan lain dari yang biasa, sepertinya suara teriakan nyaring Kak Mei yang dalam ketakutan.
“Tiada, satu sen pun tidak ada! Jangan harap, jangan harap kau boleh ambil lagi duit dari aku!”
“Tiada duit? Mana mungkin kau tidak berduit! Penipu! Kau dapat begitu banyak wang dari jualan arak dan pertaruhan haram kau itu! Jangan menipu aku.”
“Biarpun aku bersusah payah mencari semua wang itu, itu semua milik aku. Kenapa aku perlu berikan kepada kau untuk dibelanjakan ke atas si babi itu semua? Si babi hitam, aku tidak seteruk dahulu.”
“Sedapnya kata-kata kau. Bersusah payah mencari wang? Jangan ingat aku tidak tahu, semua duit itu adalah untuk menyara Abang Hou!”
“Si babi hitam, celupar betul mulut kau, jangan tuduh sembarangan.”
“Tuduh sembarangan? Siapa tidak tahu yang kau telah carikan bapa angkat untuk Qiang Jai!”
“Si babi hitam, adakah kau masih berhati perut? Aku melahirkan Qiang Jai bersama kau, tapi kau pula lari ke Batu Pahat, menghilangkan diri buat beberapa tahun lamanya. Qiang Jai telahpun berusia 8 tahun sekarang! Tanya diri kau sendiri, sebagai seorang bapa, pernahkah kau menghulurkan wang untuk menyara keluarga ini? Setiap kali datang, kau hanya tahu menyelongkar rumah ini, bagaikan kami yang berhutang dengan kau.”
“Baik, si perempuan gemuk, kau mahu ungkit kisah lama dengan aku? Baik, hari ini biar aku pula yang berkira dengan kau. Qiang Jai adalah anak aku, aku juga ada hak ke atas Qiang Jai. Aku akan bawa dia balik ke Batu Pahat. Biar aku yang bela dia, kau jangan terkejut pula dengan kemampuan aku untuk menyara dia.”
“Berani kau, jika kau mahu berebutkan dia, aku akan lawan kau sampai mati!”
Selepas itu, kedengaran suara tangisan Qiang Jai, bunyi pergelutan antara mereka yang begitu ganas, bunyi riuh, bunyi barang yang pecah dan ditambah dengan suara teriakan Kak Mei yang dalam kesakitan.
Aku mengetapkan bibir, dengan kasar aku menjatuhkan kerusi di hadapanku. Aku menolak pintu bilikku dan terus meluru ke ruang tamu. Ruang tamu berada dalam keadaan yang kucar kacir, bagaikan seekor babi liar telah merempuh masuk dan mengamuk sakan! Kerusi diterbalikkan hingga bertaburan di merata tempat, beberapa kotak arak turut terbalik di atas lantai. Ada botol-botol arak yang telah pecah, buih-buihnya mengalir memenuhi lantai. Sebahagian muka Kak Mei telah lebam, bajunya juga terkoyak. Kak Mei memeluk erat Qiang Jai dan meringkuk di pelusuk ruang tamu itu, menangis tidak berdaya. Seorang lelaki yang berbadan rendah tegap pula, dengan tangan hitamnya yang dipenuhi bulu kasar, duduk di atas kerusi dengan perlahan-lahan. Dia duduk seperti seorang pemenang, tangannya menggenggam sebotol bir. Tanpa menggunakan cawan, dia mendongakkan kepalanya sebelum meneguk bir itu dengan rakus.
“Si babi hitam!” Aku menjerit, pandanganku telah dikaburi oleh kemarahan. Tanganku mencapai benda yang terdekat denganku tanpa aku sedari apakah yang telah aku capai, kemudian aku terus menghentak belakang badan si lelaki tak guna itu! Seluruh badannya jatuh tertiarap di atas lantai. Belum sempat dia merangkak bangun, aku terus meluru ke arahnya. Aku menyerang badannya dengan tumbukan, tendangan dan keseluruhan anggota badanku tanpa dapat dikawal lagi.
Aku bagaikan mahu mencurahkan sepenuh perasaan marah dan kebencianku yang terpendam ke atas badan lelaki itu.
Adakah lelaki itu masih seorang manusia? Dia lebih teruk dari seekor haiwan. Sememangnya kakak aku yang telah buta mata dan hati! Kakak aku telah menjadi isterinya yang kedua dan mengikut dia ke sini. Bukan itu sahaja, wang peninggalan arwah ayah turut dicuri oleh mereka semata-mata untuk membuka perniagaan lelaki itu, sehinggakan hubungan kami sekeluarga retak. Namun, bagaimana pula layanannya terhadap kakak sulungku itu? Mereka datang ke Johor. Kemudian, segala harta benda kakak lesap ditipu oleh lelaki itu, dan akhirnya dia membuang kakak ke pelusuk yang gelap, bagaikan seekor serangga yang bergerak dengan susah payah hanya untuk hidup.
“Matilah kau, celaka betul, matilah kau.” Aku menggunakan sepenuh tenaga aku dalam setiap pukulanku ke atas muka hodoh lelaki itu yang nampak seperti kulit seekor babi hitam. Dia melolong kesakitan. Namun, lelaki itu tidak mudah menyerah kalah, dia juga menyerang balas dengan kuat. Tidak beberapa lama kemudian dia membalikkan tubuhnya mahu menyerang aku.
Entah siapa yang menarik kami berdua jauh dari satu sama lain. Aku hanya merasakan seluruh badanku terbaring di atas sofa tercungap-cungap. Darah menitik keluar dari hidungku, wajahku juga terasa kesakitan yang membara. Semestinya lelaki itu pasti berdarah lebih banyak dari aku, keadaannya juga pasti lebih teruk dari aku.
Kakak datang merawat aku tanpa mempedulikan kecederaannya sendiri. Secara tiba-tiba, ruang tamu itu telah dipenuhi oleh manusia, kesemua wajah-wajah itu adalah wajah-wajah yang aku kenali. Pada saat itu, wajah-wajah kasar dan rendah diri mereka itu tampak begitu baik dan mesra terhadap diri ini.
Dua hari terakhir aku berada di Muar, aku tidak menulis walau sepatah pun. Aku juga telah hilang semangat untuk pergi ke rumah pelacuran bagi menjalankan temu ramah. Aku hanya berbaring di atas kerusi di ruang tamu, memerhatikan kuli-kuli dan pembawa-pembawa beca keluar masuk untuk minum arak di situ. Kakak masih meneruskan hidupnya seperti biasa, bangun awal setiap hari, menyediakan sarapan pagi buat Qiang Jai, mengemaskan beg sekolah lalu menghantar Qiang Jai ke bas sekolah. Kemudian, dia melayani kuli-kuli tua itu, membawakan bir buat buruh-buruh kasar dan menyediakan kacang tanah.
Lebam di mata kakak masih belum hilang. Kakak merebus dua butir telur ayam setiap hari, kemudian telur-telur ayam itu dibalut dengan tuala yang bersih, sebutir digunakan untuknya, manakala sebutir lagi digosok ke atas lebam aku sendiri untuk menghilangkannya.
Kami mula berbual tentang kisah lalu, tentang hidup abang, kakak kedua dan kakak ketiga. Aku dapat merasakan, masih ada perasaan sesal yang tersemat di hati kakak sulungku itu. Adakah ia disebabkan memori dia mencuri wang peninggalan arwah ayah itu? Atau kerana status dirinya suatu ketika dahulu yang membuatnya sedih? Oh, aku pula yang berasa terkilan dengan prejudisku terhadap dirinya suatu ketika dahulu!
Aku mengemas beg pakaian di dalam bilik. Beberapa helai baju disumbat masuk ke dalam beg itu, juga sebuah kamera, buku dan nota. Aku pegang timbunan kertas deraf yang aku tulis semua itu, ternyata tajuk yang tertulis adalah “Lagenda Pelacur Cantik!”. Aku terkejut dengan diriku sendiri yang begitu membosankan dan dengan imaginasiku yang begitu kotor itu.
Aku mengambil timbunan kertas deraf itu lalu berjalan ke luar rumah. Aku dapati kakak sedang menyapu daun yang luruh di halaman rumah. Daun kering itu dikumpulkan menjadi satu timbunan kecil dan dicampurkan bersama kertas yang tidak berguna serta sampah-sarap. Kakak menggores sebatang mancis lalu menyalakan api ke atas timbunan daun kering itu, melihat timbunan itu dimakan api.
Aku koyakkan setiap helain kertas deraf itu, kemudian aku lempar kertas-kertas itu ke dalam api.
“Kenapa kamu bakar semua kertas itu?”
“Artikel itu tidak ditulis dengan baik. Kertas-kertas itu juga tidak dapat digunakan lagi.”
“Kamu tidak mahu terus tinggal di sini buat beberapa hari lagi?”
Aku menggelengkan kepada, memerhatikan api yang memakan kertas-kertas itu dengan rakus. Dalam sekelip mata ia menjadi debu.
“Pukul berapa bas kamu akan bertolak esok?”
“Pukul sembilan setengah.”
“Oh, kamu tunggu sebentar.” Kak Mei masuk ke dalam rumah. Apabila dia keluar, tangannya memegang dua keping gambar dan beberapa keping wang kertas. “Ambillah. Kakak kedua asyik minta gambar Qiang Jai dengan aku. Tolong berikan kepada dia gambar-gambar ini. Dan ini...”
“Kak, saya boleh bantu kamu berikan gambar-gambar itu, tapi wang ini.” Aku terlompat, mengundur langkah beberapa tapak, “Saya tidak boleh ambil duit kamu!”
“Si hitam, kenapa kamu perlu buat begini? Kamu langsung tiada duit sekarang, bagaimana kamu mahu hidup? Kamu perlu makan! Lihatlah kamu, sudahlah tiada kerja, sekarang cedera sebegitu rupa.”
Aku tidak peduli. Tidak kira apa sekalipun, aku pasti tidak akan mengambil wang daripada kakak.
Awal pagi itu, waktu bergerak dengan perlahan. Setelah bersarapan pagi, kakak mendapatkan sebuah beca buatku. Aku memakai kasut, menggalas beg pakaianku, menoleh memandang muka kakak yang kian hilang bengkaknya itu, kemudian berkata, “Kakak, jika si babi hitam itu masih berani datang buat hal di sini, terus telefon kakak kedua. Kakak kedua akan memberitahu saya, saya akan datang melawat kamu semua lagi.”
Sewaktu beca bergerak meninggalkan Jalan Ibrahim, tanpa perlu menoleh, aku dapat merasakan yang kakak masih berdiri di bawah pohon jambu air itu, memerhatikan aku berlalu pergi.
Setibanya di stesen bas, perjalanan yang panjang pun bermula.
Bas itu bertolak tepat pada masanya, menyeberangi jambatan besar Sungai Muar, menuju ke utara. Sepanjang perjalanan fikiranku bercelaru, tidak mampu berfikir dengan tenang. Pemandangan hijau di luar berlalu pergi dari pandanganku dengan pantas. Aku rasakan bahawa aku memerlukan sesuatu untuk mendamaikan fikiranku. Lantas, beg pakaianku itu dibuka bagi mencari buku untuk dibaca. Namun, aku terjumpa bungkusan kecil yang asing. Aku mengambil bungkusan itu lalu membuka surat khabar lama yang membalutnya. Rupanya, ia adalah sejumlah wang kertas. Selepas dikira, ada dua ratus kesemuanya. Berapa banyak bir yang perlu kakak jual, sebelum dia boleh mendapat wang sebanyak ini?
Aku menggenggam wang itu, air mata yang terpendam selama ini mengalir keluar bagaikan empangan yang telah pecah. Aku menggenggam bungkusan wang itu dengan lebih erat lagi, kemudian aku berpaling ke luar tingkap. Di luar, langit yang mendung turut dibasahi hujan.
-terjemahan oleh Nur Izni Syazwani binti Ahmad
Comments
Post a Comment